Pencipta langit dan bumi

Pencipta langit dan bumi
Ku abadikan diri ini buat Pencipta langit dan bumi...

Sunday, November 4, 2012

Tempat Baru...



Sudah terlalu lama Aku tidak updated blogku ini. Sejak Aku bekerja di tempat baru. Di sini kerjanya terlalu banyak dan perlu diselesaikan secepat yang mungkin. Jika dulu Aku sangat mengharap untuk keluar dari tempat lama dan bekerja di tempat baru, Alhamdulillah doaku kepada Yang Maha Esa telah dimakbulkan, cuma cepat atau lambat sahaja. Setelah hampir 2 tahun setengah baru aku berjaya keluar dari tempat kerja lama. Dan sekarang di tempat baru, Aku terlalu sibuk sehingga tiada ruang waktu untuk Aku updated cerita terkiniku. Kebiasaannya Aku akan sampai di pejabat sebelum pukul 8.00 pagi walaupun waktu bekerja bermula pada pukul 8.20 pagi. Sudah menjadi kebiasaanku untuk tiba lebih awal dari waktu mulanya bekerja.

Di sini waktu rehat bermula pada pukul 1.00 ptg hingga 1.50 ptg. Bermaksud kami hanya rehat selama 50 minit sahaja. Kami juga ada waktu minum pg pada pukul 10.30 hingga 10.40 selama 10 minit dan minum ptg pada pukul 3.30 hingga 3.40 juga selama 10 minit. Nampak tak di situ terdapat waktu rehat selama 20 minit, 10 minit pg dan 10 minit ptg. Itulah sebabnya kami masuk bekerja awal 10 minit pd pukul8.20 pg dan lunch time pula 50 minit sahaja. Dan waktu tamat bekerja adalah pada pukul 6.00 ptg

Tetapi percayalah kami tidak pulang ke rumah tepat pd pukul 6 ptg sebaliknya kami hanya pulang ke rumah setelah malam menjelma. Itulah konsep bekerja di sini, bekerja perlulah melebihi waktu bekerja barulah nampak kesungguhan dalam bekerja. Bos@GM akan menghargai jika kita rajin bekerja seolah-olah lupa untuk pulang ke rumah dan  lupa akan keluarga yang sedang menanti di rumah, hidup ini hanya untuk bekerja sahaja. Bagi mereka yang mempunyai over time (OT) memang berbaloilah kalau balik lambat sekali pun kerana mereka dibayar tetapi bagi mereka yg tiada OT pula bagaimana? Terpaksa redha ajelah demi tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan. Inilah realitinya bekerja di sektor swasta yang sentiasa berusaha untuk mendapatkan pulangan yang tinggi.

Kadang-kadang Aku rindu akan kerja Ku di tempat lama tetapi bila memikirkan soal gaji dan status kerja di tempat lama Aku redha dan bersyukur kerana inilah yang aku mahukan dari dulu lagi. Cuma bila berhadapan dengan kerja yang terlampau banyak dan tidak pernah habis aku hampir menyerah kalah.

Sekarang Aku berdoa dan mengharap untuk mendapatkan kerja di sektor kerajaan pula tetapi biarlah kali ini berstatus tetap dan sesuai dengan kelulusanku. Aku terfikir memang itulah realiti kehidupan manusia, tidak pernah puas dengan apa yang dimiliki. Apakan daya kita mengharapkan pekerja yang boleh memberi kesenangan untuk kita dalam mengharungi kehidupan ini. Dan bila kita diberikan pekerja yang membuatkan kita hampir tiada ruang langsung untuk keluarga dan juga diri sendiri, kita mesti terus berdoa dan mengharap agar kita akan perolehi pekerjaan yang lebih baik. Aku ini manusia biasa yang sentiasa berusaha untuk mendapatkan kesempurnaan dan bukannya tidak bersyukur dengan rezeki yang Allah kurniakan.

Sepanjang 6 bulan aku bekerja di sini aku telah pun disahkan jawatan dan telah pun berstatus tetap. Inilah yang aku inginkan selama ini pekerjaan yang berstatus tetap. Dan dalam tempoh ini juga sudah 2 kali aku mendapat surat menghadiri peperiksaan untuk memasuki pekerjaan di sektor kerajaan. Panggilan yang pertama adalah untuk jawatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD), dan ini adalah kali keempat sebenarnya aku menghadapi peperiksaan ini 2 kali di kampung dan 2 kali di Selangor. Kali ini aku tetap tidak berjaya, GAGAL dalam peperiksaan ini. Mungkin memang bukan rezekiku untuk menjadi PTD. Sesungguhnya Allah lebih mengetahui.

Kali kedua aku mendapat panggilan untuk menduduki peperiksaan adalah bagi jawatan Pegawai Pembangunan Masyarakat. Kali ini awal-awal lagi aku tidak bernasib baik kerana pada tarikh yang sama syarikat aku sekarang mengadakan Company Trip ke Pulau Redang, Terengganu. Memang bukan rezeki aku nampaknya. Aku redha walaupun mamaku mengharapkan aku untuk bekerja sebagai Pegawai Pembangunan Masyarakat dan aku langsung tidak menceritakan mengenai panggilan peperiksaan ini kepada mama. Maafkan Along mama.

Dan baru-baru ini, aku mendapat satu lagi panggilan tetapi kali ini bukanlah panggilan peperiksaan sebaliknya panggilan temu duga. Aku sangat terkejut kerana tanpa menghadapi peperiksaan aku terus dipanggil untuk temu duga oleh SPA bagi jawatan sebagai Pegawai Perhubungan Perusahaan. Alhamdulillah syukurnya, terus aku sampaikan khabar gembira ini kepada mama dan tarikh temu duganya adalah betul-betul selepas Hari Raya Aidil Adha.

Ketika Aku menulis artikel ini, Aku telah pun selamat menghadapi sesi temu duga tersebut. Aku sangat berharap untuk lulus temu duga ini. Tetapi yang merisaukan adalah aku merasakan aku tidak memberikan yang sehabis baik sewaktu sesi temu duga itu berlangsung. Banyak kesilapan yang telah aku lakukan tetapi aku juga telah cover kesilapan tersebut dengan perkara lain. Semoga sedikit-sebanyak ianya dapat menutup kekurangan tersebut. Perkara inilah yang merisaukan aku kerana temu duga dilakukan untuk mengisi kekosongan sebanyak 60 jawatan sahaja dan seramai 1,000 orang telah dipanggil untuk temu duga ini.

Adakah rezeki akan berpihak padaku kali ini. Dengan usaha dan doaku serta iringan doa mama aku bertawakal kepada Allah kerana aku lelah mencuba sehabis baik. Segala kekurangan itu datangnya dari kesilapan aku sendiri dan segala kebaikan yang ada itu datangnya dari Allah. Semoga ada kebaikan untukku. Amin...