31 Mac 2013: Ahad
Setelah Tahun 2013 akan memasuki bulan April pada esok hari (Isnin), ini kali pertama aku updated blogku ini. Bukannya tiada keinginan untuk terus menaip di sini tetapi kesibukan bekerja dan kesempitan masa membuatkan Aku melupakan sahaja hasratku ini.
Apa yang inginku coretkan di sini adalah untuk mengulangi atau memunasabahkan diri mengenai 4 perkara, hasrat, azam ataupun keinginan yang sangat-sangat aku harapkan dalam hidupku buat masa ini.
1- Pekerjaan Tetap.
Alhamdulillah tanggal 14 Mac 2012 aku telah melangkah ke dunia pekerjaan yang baru dalam sektor swasta. Setelah hampir 2 tahun setengah aku berada dalam sektor kerajaan sebagai pekerja kontrak. Inilah sebenarnya yang aku sangat harapkan untuk mendapat pekerja yang tetap dan ianya telah tertulis tempatku adalah dalam sektor swasta. Sudah pun genap setahun Aku berada dalam sektor swasta dan sememangnya terdapat banyak perbezaan dengan sektor kerajaan.
Sesungguhnya Aku bersyukur kerana gajiku di sini lebih banyak jika dibandingkan dengan tempat lama dan kerjanya pun lebih banyak. Tetapi lumrah kehidupan manusia yang tidak pernah cukup dengan apa yang dimiliki. Setelah setahun bekerja, Aku sekarang sangat mengharap untuk kembali bekerja dalam sektor kerajaan. Maafkan aku, bukannya aku tidak bersyukur tetapi sebagai manusia biasa kita sentiasa mengharapkan yang lebih untuk masa depan kita.
Aku di sini berada di pejabat bermula dari jam 8.00 pagi sehingga jam 8.00 malam dan kebiasaanya lebih lewat dari waktu itu. Untuk mendapatkan gaji yang lumayan itulah pengorbanan yang perlu dilakukan. Aku terfikir, jika Aku bekerja dalam sektor kerajaan sesuai dengan kelulusanku, Aku tidak perlu bekerja selewat itu untuk mendapatkan nilai gaji yang sama cuma mungkin sekali-sekala sahaja akan bekerja lebih masa dan kadang-kadang ada out station.
Sekali lagi maafkanku. AKU BERDOA DAN MANGHARAP UNTUK BEKERJA DALAM SEKTOR KERAJAAN.
2- Kereta.
Alhamdulillah, aku telah berjaya membeli sebuah kereta Toyota Vios. Tanggal 8 Februari 2013 aku telah memiliki kereta sendiri. Sebenarnya Aku tidak pasti akan keperluanku untuk membeli kereta ini. Aku telah mengorbankan RM 12K sebagai down payment dan perlu membayar setiap bulan sebanyak RM 737. Nilainya sangat tinggi dan inilah salah satu pengorbananku.
Adakah aku berlagak kerana sebenarnya ianya adalah di luar kemampuanku. Adalah Aku hanya ingin memenuhi keinginan keluarga ataupun Aku mahu dipandang tinggi dan tidak dihina oleh saudara-mara. Tampahan pula Angahku memiliki Honda City walaupun hanya secondhand, Aku sedaya upaya cuba untuk mendapatkan sesuatu yang setanding dengannya. Aku sendiri tidak pasti kerana apa yang Aku mahu sebenarnya hanyalah sebuah kereta supaya mudah untukku pulang ke kampungku di Kota Bharu, Kelantan dan boleh menggunaknya untuk membawa keluargaku.
Oleh kerana Aku tidak mahu membeli kereta Proton dan kereta impianku pada mulanya iaitu Perodua Myvi agak kecil untuk kegunaan keluarga maka Aku putuskan untuk membeli Vios. Mudah-mudahan ini adalah yang terbaik buatku.
Ini adalah pilihanku. AKU BERDOA SEMOGA PILIHANKU INI ADALAH BETUL DAN AKU MAMPU UNTUK TERUS MEMBAYAR ANSURANNYA SETIAP BULAN.
3- Rumah/Tempat Tinggal
Untuk memiliki sebuah rumah sendiri adalah suatu yang masih mustahil bagiku kerana sesungguhnya Aku belum mampu. Walaupun keinginan untuk memiliki rumah sendiri adalah tinggi tetapi disebabkan oleh kos sebuah rumah yang tinggi maka terpaksalah Aku pendamkan sahaja hasratku itu.
Dan sehingga saat ini Aku masih lagi menumpang di rumah makcikku. Malu rasanya setelah usia memasuki angka 27 tahun aku masih lagi belum tinggal berasingan. Aku pernah menyuarakan untuk berpindah tetapi makcikku bertanya kenapa Aku mahu pindah kerana dia tiada masalah aku tinggal di sini dan begitu juga dengan pakcikku. Sehinggalah dia bertanya, adakah dia masak tidak sedap? Sungguh jauh pemikirannya itu kerana aku sebenarnya tidak mahu terus menumpang.
Suatu masa nanti aku perlu cari rumah sewa walaupun hanyalah bilik sewa. Aku tidak boleh terus tinggal di sini, sampai bila aku mahu duduk di sini? Aku ingin keluar dari kepompong ini. Aku ingin terbang bebas.
Salah satu sebab mengapa Aku ingin kerja kerajaan adalah untuk memiliki sebuah rumah kuartes yang aku boleh tinggal sendirian dan ibu bapaku boleh menjengukku pada bila-bila masa di rumahku sendiri.
Aku perlu keluar dari sini. AKU BERDOA DAN MENGHARAP UNTUK MEMILIKI RUMAH SENDIRI.
4- Kahwin.
Sesungguhnya targetku untuk mendirikan rumah tangga adalah ketika berusia 27 tahun iaitu pada tahun 2013. Tetapi sehingga saat ini Aku masih tidak mempunyai calon yang sesuai. Adalah kerana tiada wanita yang hadir dalam hidupku, adalah kerana Aku tidak mencari ataupun adakah kerana aku terlalu memilih?
Maafkan Aku kerana ini adalah soal pasangan hidup, aku perlukan seseorang yang memahamiku, yang boleh menyokongku, yang boleh menutup kekuranganku dan yang paling penting boleh melengkapkan kehidupanku. Aku belum ketemu wanita seperti ini.
Wanita idamanku adalah seorang wanita yang ceria, bersaiz kecil molek sepertiku, tidak gemuk, tidak terlalu rendah dariku, memiliki kulit yang putih dan yang paling penting adalah menutup aurat. Entahlah mungkin kerana kreteria yang telah aku gariskan ini menyebabkan agak susah untuk aku mendapatkan calon yang sesuai. Kerana insan yang pernah hadir dalam hidupku semuanya diluar kreteriaku.
Maafkan Aku kerana terlalu memilih. AKU MENDOAKAN SEMOGA INSAN YANG SESUAI AKAN SEGERA HADIR DALAM HIDUPKU.
*** Kesimpulan yang boleh Aku buat adalah Aku telah mendapat pekerjaan tetap walaupun dalam sektor swasta sehinggalah aku mampu membeli sebuah kereta Toyota Vios. Tetapi Aku belum lagi mempunyai rumah sendiri dan belum lagi mempunyai calon untuk dijadikan pasangan hidup.
Alhamdulillah dalam masa satu tahun ini Aku telah memperolehi 2 dari 4 keperluan/keinginanku walaupun Aku masih lagi mengharapkan yang terbaik.
Semoga Allah memudahkan perjalanan hidupku dan membantu Aku untuk mencapai segala keperluanku/kehendakku/keinginanku/impianku. Amin.. ***