Pencipta langit dan bumi

Pencipta langit dan bumi
Ku abadikan diri ini buat Pencipta langit dan bumi...

Sunday, March 31, 2013

Memunasabah diri...

31 Mac 2013: Ahad

Setelah Tahun 2013 akan memasuki bulan April pada esok hari (Isnin), ini kali pertama aku updated blogku ini. Bukannya tiada keinginan untuk terus menaip di sini tetapi kesibukan bekerja dan kesempitan masa membuatkan Aku melupakan sahaja hasratku ini.

Apa yang inginku coretkan di sini adalah untuk mengulangi atau memunasabahkan diri mengenai 4 perkara, hasrat, azam ataupun keinginan yang sangat-sangat aku harapkan dalam hidupku buat masa ini.

1- Pekerjaan Tetap.
     Alhamdulillah tanggal 14 Mac 2012 aku telah melangkah ke dunia pekerjaan yang baru dalam sektor swasta. Setelah hampir 2 tahun setengah aku berada dalam sektor kerajaan sebagai pekerja kontrak. Inilah sebenarnya yang aku sangat harapkan untuk mendapat pekerja yang tetap dan ianya telah tertulis tempatku adalah dalam sektor swasta. Sudah pun genap setahun Aku berada dalam sektor swasta dan sememangnya terdapat banyak perbezaan dengan sektor kerajaan.

Sesungguhnya Aku bersyukur kerana gajiku di sini lebih banyak jika dibandingkan dengan tempat lama dan kerjanya pun lebih banyak. Tetapi lumrah kehidupan manusia yang tidak pernah cukup dengan apa yang dimiliki. Setelah setahun bekerja, Aku sekarang sangat mengharap untuk kembali bekerja dalam sektor kerajaan. Maafkan aku, bukannya aku tidak bersyukur tetapi sebagai manusia biasa kita sentiasa mengharapkan yang lebih untuk masa depan kita.

Aku di sini berada di pejabat bermula dari jam 8.00 pagi sehingga jam 8.00 malam dan kebiasaanya lebih lewat dari waktu itu. Untuk mendapatkan gaji yang lumayan itulah pengorbanan yang perlu dilakukan. Aku terfikir, jika Aku bekerja dalam sektor kerajaan sesuai dengan kelulusanku, Aku tidak perlu bekerja selewat itu untuk mendapatkan nilai gaji yang sama cuma mungkin sekali-sekala sahaja akan bekerja lebih masa dan kadang-kadang ada out station.

Sekali lagi maafkanku. AKU BERDOA DAN MANGHARAP UNTUK BEKERJA DALAM SEKTOR KERAJAAN.

2- Kereta.
     Alhamdulillah, aku telah berjaya membeli sebuah kereta Toyota Vios. Tanggal 8 Februari 2013 aku telah memiliki kereta sendiri. Sebenarnya Aku tidak pasti akan keperluanku untuk membeli kereta ini. Aku telah mengorbankan RM 12K sebagai down payment dan perlu membayar setiap bulan sebanyak RM 737. Nilainya sangat tinggi dan inilah salah satu pengorbananku. 

Adakah aku berlagak kerana sebenarnya ianya adalah di luar kemampuanku. Adalah Aku hanya ingin memenuhi keinginan keluarga ataupun Aku mahu dipandang tinggi dan tidak dihina oleh saudara-mara. Tampahan pula Angahku memiliki Honda City walaupun hanya secondhand, Aku sedaya upaya cuba untuk mendapatkan sesuatu yang setanding dengannya. Aku sendiri tidak pasti kerana apa yang Aku mahu sebenarnya hanyalah sebuah kereta supaya mudah untukku pulang ke kampungku di Kota Bharu, Kelantan dan boleh menggunaknya untuk membawa keluargaku.

Oleh kerana Aku tidak mahu membeli kereta Proton dan kereta impianku pada mulanya iaitu Perodua Myvi agak kecil untuk kegunaan keluarga maka Aku putuskan untuk membeli Vios. Mudah-mudahan ini adalah yang terbaik buatku.

Ini adalah pilihanku. AKU BERDOA SEMOGA PILIHANKU INI ADALAH BETUL DAN AKU MAMPU UNTUK TERUS MEMBAYAR ANSURANNYA SETIAP BULAN.

3- Rumah/Tempat Tinggal
     Untuk memiliki sebuah rumah sendiri adalah suatu yang masih mustahil bagiku kerana sesungguhnya Aku belum mampu. Walaupun keinginan untuk memiliki rumah sendiri adalah tinggi tetapi disebabkan oleh kos sebuah rumah yang tinggi maka terpaksalah Aku pendamkan sahaja hasratku itu.

Dan sehingga saat ini Aku masih lagi menumpang di rumah makcikku. Malu rasanya setelah usia memasuki angka 27 tahun aku masih lagi belum tinggal berasingan. Aku pernah menyuarakan untuk berpindah tetapi makcikku bertanya kenapa Aku mahu pindah kerana dia tiada masalah aku tinggal di sini dan begitu juga dengan pakcikku. Sehinggalah dia bertanya, adakah dia masak tidak sedap? Sungguh jauh pemikirannya itu kerana aku sebenarnya tidak mahu terus menumpang.

Suatu masa nanti aku perlu cari rumah sewa walaupun hanyalah bilik sewa. Aku tidak boleh terus tinggal di sini, sampai bila aku mahu duduk di sini? Aku ingin keluar dari kepompong ini. Aku ingin terbang bebas.

Salah satu sebab mengapa Aku ingin kerja kerajaan adalah untuk memiliki sebuah rumah kuartes yang aku boleh tinggal sendirian dan ibu bapaku boleh menjengukku pada bila-bila masa di rumahku sendiri.

Aku perlu keluar dari sini. AKU BERDOA DAN MENGHARAP UNTUK MEMILIKI RUMAH SENDIRI.

4- Kahwin.
     Sesungguhnya targetku untuk mendirikan rumah tangga adalah ketika berusia 27 tahun iaitu pada tahun 2013. Tetapi sehingga saat ini Aku masih tidak mempunyai calon yang sesuai. Adalah kerana tiada wanita yang hadir dalam hidupku, adalah kerana Aku tidak mencari ataupun adakah kerana aku terlalu memilih?

Maafkan Aku kerana ini adalah soal pasangan hidup, aku perlukan seseorang yang memahamiku, yang boleh menyokongku, yang boleh menutup kekuranganku dan yang paling penting boleh melengkapkan kehidupanku. Aku belum ketemu wanita seperti ini.

Wanita idamanku adalah seorang wanita yang ceria, bersaiz kecil molek sepertiku, tidak gemuk, tidak terlalu rendah dariku, memiliki kulit yang putih dan yang paling penting adalah menutup aurat. Entahlah mungkin kerana kreteria yang telah aku gariskan ini menyebabkan agak susah untuk aku mendapatkan calon yang sesuai. Kerana insan yang pernah hadir dalam hidupku semuanya diluar kreteriaku.

Maafkan Aku kerana terlalu memilih. AKU MENDOAKAN SEMOGA INSAN YANG SESUAI AKAN SEGERA HADIR DALAM HIDUPKU.


*** Kesimpulan yang boleh Aku buat adalah Aku telah mendapat pekerjaan tetap walaupun dalam sektor swasta sehinggalah aku mampu membeli sebuah kereta Toyota Vios. Tetapi Aku belum lagi mempunyai rumah sendiri dan belum lagi mempunyai calon untuk dijadikan pasangan hidup. 

Alhamdulillah dalam masa satu tahun ini Aku telah memperolehi 2 dari 4 keperluan/keinginanku walaupun Aku masih lagi mengharapkan yang terbaik.

Semoga Allah memudahkan perjalanan hidupku dan membantu Aku untuk mencapai segala keperluanku/kehendakku/keinginanku/impianku. Amin.. ***

Sunday, November 4, 2012

Tempat Baru...



Sudah terlalu lama Aku tidak updated blogku ini. Sejak Aku bekerja di tempat baru. Di sini kerjanya terlalu banyak dan perlu diselesaikan secepat yang mungkin. Jika dulu Aku sangat mengharap untuk keluar dari tempat lama dan bekerja di tempat baru, Alhamdulillah doaku kepada Yang Maha Esa telah dimakbulkan, cuma cepat atau lambat sahaja. Setelah hampir 2 tahun setengah baru aku berjaya keluar dari tempat kerja lama. Dan sekarang di tempat baru, Aku terlalu sibuk sehingga tiada ruang waktu untuk Aku updated cerita terkiniku. Kebiasaannya Aku akan sampai di pejabat sebelum pukul 8.00 pagi walaupun waktu bekerja bermula pada pukul 8.20 pagi. Sudah menjadi kebiasaanku untuk tiba lebih awal dari waktu mulanya bekerja.

Di sini waktu rehat bermula pada pukul 1.00 ptg hingga 1.50 ptg. Bermaksud kami hanya rehat selama 50 minit sahaja. Kami juga ada waktu minum pg pada pukul 10.30 hingga 10.40 selama 10 minit dan minum ptg pada pukul 3.30 hingga 3.40 juga selama 10 minit. Nampak tak di situ terdapat waktu rehat selama 20 minit, 10 minit pg dan 10 minit ptg. Itulah sebabnya kami masuk bekerja awal 10 minit pd pukul8.20 pg dan lunch time pula 50 minit sahaja. Dan waktu tamat bekerja adalah pada pukul 6.00 ptg

Tetapi percayalah kami tidak pulang ke rumah tepat pd pukul 6 ptg sebaliknya kami hanya pulang ke rumah setelah malam menjelma. Itulah konsep bekerja di sini, bekerja perlulah melebihi waktu bekerja barulah nampak kesungguhan dalam bekerja. Bos@GM akan menghargai jika kita rajin bekerja seolah-olah lupa untuk pulang ke rumah dan  lupa akan keluarga yang sedang menanti di rumah, hidup ini hanya untuk bekerja sahaja. Bagi mereka yang mempunyai over time (OT) memang berbaloilah kalau balik lambat sekali pun kerana mereka dibayar tetapi bagi mereka yg tiada OT pula bagaimana? Terpaksa redha ajelah demi tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan. Inilah realitinya bekerja di sektor swasta yang sentiasa berusaha untuk mendapatkan pulangan yang tinggi.

Kadang-kadang Aku rindu akan kerja Ku di tempat lama tetapi bila memikirkan soal gaji dan status kerja di tempat lama Aku redha dan bersyukur kerana inilah yang aku mahukan dari dulu lagi. Cuma bila berhadapan dengan kerja yang terlampau banyak dan tidak pernah habis aku hampir menyerah kalah.

Sekarang Aku berdoa dan mengharap untuk mendapatkan kerja di sektor kerajaan pula tetapi biarlah kali ini berstatus tetap dan sesuai dengan kelulusanku. Aku terfikir memang itulah realiti kehidupan manusia, tidak pernah puas dengan apa yang dimiliki. Apakan daya kita mengharapkan pekerja yang boleh memberi kesenangan untuk kita dalam mengharungi kehidupan ini. Dan bila kita diberikan pekerja yang membuatkan kita hampir tiada ruang langsung untuk keluarga dan juga diri sendiri, kita mesti terus berdoa dan mengharap agar kita akan perolehi pekerjaan yang lebih baik. Aku ini manusia biasa yang sentiasa berusaha untuk mendapatkan kesempurnaan dan bukannya tidak bersyukur dengan rezeki yang Allah kurniakan.

Sepanjang 6 bulan aku bekerja di sini aku telah pun disahkan jawatan dan telah pun berstatus tetap. Inilah yang aku inginkan selama ini pekerjaan yang berstatus tetap. Dan dalam tempoh ini juga sudah 2 kali aku mendapat surat menghadiri peperiksaan untuk memasuki pekerjaan di sektor kerajaan. Panggilan yang pertama adalah untuk jawatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD), dan ini adalah kali keempat sebenarnya aku menghadapi peperiksaan ini 2 kali di kampung dan 2 kali di Selangor. Kali ini aku tetap tidak berjaya, GAGAL dalam peperiksaan ini. Mungkin memang bukan rezekiku untuk menjadi PTD. Sesungguhnya Allah lebih mengetahui.

Kali kedua aku mendapat panggilan untuk menduduki peperiksaan adalah bagi jawatan Pegawai Pembangunan Masyarakat. Kali ini awal-awal lagi aku tidak bernasib baik kerana pada tarikh yang sama syarikat aku sekarang mengadakan Company Trip ke Pulau Redang, Terengganu. Memang bukan rezeki aku nampaknya. Aku redha walaupun mamaku mengharapkan aku untuk bekerja sebagai Pegawai Pembangunan Masyarakat dan aku langsung tidak menceritakan mengenai panggilan peperiksaan ini kepada mama. Maafkan Along mama.

Dan baru-baru ini, aku mendapat satu lagi panggilan tetapi kali ini bukanlah panggilan peperiksaan sebaliknya panggilan temu duga. Aku sangat terkejut kerana tanpa menghadapi peperiksaan aku terus dipanggil untuk temu duga oleh SPA bagi jawatan sebagai Pegawai Perhubungan Perusahaan. Alhamdulillah syukurnya, terus aku sampaikan khabar gembira ini kepada mama dan tarikh temu duganya adalah betul-betul selepas Hari Raya Aidil Adha.

Ketika Aku menulis artikel ini, Aku telah pun selamat menghadapi sesi temu duga tersebut. Aku sangat berharap untuk lulus temu duga ini. Tetapi yang merisaukan adalah aku merasakan aku tidak memberikan yang sehabis baik sewaktu sesi temu duga itu berlangsung. Banyak kesilapan yang telah aku lakukan tetapi aku juga telah cover kesilapan tersebut dengan perkara lain. Semoga sedikit-sebanyak ianya dapat menutup kekurangan tersebut. Perkara inilah yang merisaukan aku kerana temu duga dilakukan untuk mengisi kekosongan sebanyak 60 jawatan sahaja dan seramai 1,000 orang telah dipanggil untuk temu duga ini.

Adakah rezeki akan berpihak padaku kali ini. Dengan usaha dan doaku serta iringan doa mama aku bertawakal kepada Allah kerana aku lelah mencuba sehabis baik. Segala kekurangan itu datangnya dari kesilapan aku sendiri dan segala kebaikan yang ada itu datangnya dari Allah. Semoga ada kebaikan untukku. Amin...

Sunday, April 15, 2012

Hasil seterusnya...

Sambungan Disebalik Langkah Pertama.... Masuk opis di pagi hari aku terus buka email semalam dan tengok jawatan yang ditawarkan. Aku cuba search apa jawatan tersebut dan skop tugasnya. Pada mulanya aku fikir baik aku pergi sahaja walaupun aku macam tak berapa berminat sekurang-kurangnya ini adalah peluang untuk aku timba pengalaman diinterview. Aku google search map nak ke company tersebut dan ianya tidaklah jauh dari tempat yang aku pergi interview semalam, area situ juga. Aku fikirkan baik buruknya dan peluang untuk aku diterima dengan calon yang agak ramai serta jawatan yang ditawarkan bukan seperti yang aku pohon. Dan akhirnya aku balas email yang dihantar mengesahkan kehadiran ketidakhadiran dengan alasan I’m not feeling well. I’m so sorry. Aku tipu sunat lagi. Email yang aku hantar itu dibalas balik mengatakan dia akan arrangekan interview lain bila aku dah sihat nanti. Walaupun aku tak berminat aku tetap balas mengatakan aku akan maklumkan bila aku dah sihat nanti.

Beberapa hari selepas itu aku menerima 1 lagi call. Panggilan ini diterima pada hari Sabtu kebetulan aku berada di panggung dan wayang pun belum bermula lagi. Aku jawab call dan setelah berbincang beberapa ketika sesi interview ditetapkan pada hari Rabu bersamaan 07/03/2012 dan aku minta dia email detail maklumat yang perlu aku tahu, perlu lakukan dan perlu bawa pada sesi interview tersebut.

Untuk menghadiri interview kali ini aku tidak lagi berbohong kepada bos. Aku terpaksa berterus terang kerana sehari sebelumnya bos ajak aku ke Melaka kerana ada kerja luar di sana. Maka terpaksalah aku katakan aku tak dapat ikut  kerana aku ada interview keesokakan harinya. Maka dengan itu aku telah berterus terang dan dapatlah aku menghadiri interview dengan tenang.

Pada hari Rabu yang dijanjikan iaitu pada pukul 9.30 pg aku menghadiri interview tersebut setelah mengambil cuti half day. Semasa tengah asyik mengisi borang yang memerlukan segala maklumat peribadiku, aku terima lagi satu panggilan interview. Nampaknya rezeki aku semakin murah setelah menghantar resume ke beberapa puluh agensi. Kali ini aku tak cakap banyak, aku hanya kata ok dan mintak emailkan detail. Ye la aku tengah neves nak interview ni.

Sesi interview berjalan lancar, interviewernya adalah seorang wanita melayu yang merupakan Head of Admin Department dan seorang lagi wanita dari HR Department yang bertanggungjawab menelefon aku untuk interview ini. Sesi interview dimulakan dengan sesi memperkenalkan diri dan aku speaking serba sedikit mengenai diriku. Dia macam kagum, bukan sebab aku speaking ok (tak tau la kalau aku syok sendiri) tapi sebab soalan math yang dikepilkan bersama borang maklumat peribadi itu tadi aku berjaya jawab dengan kesemua 18 soalan dengan betul. Maka aku telah mengatakan I love Math. Menjual diri sekejap.

Kekagumannya tak habis di situ, dia juga bagi tips kalau aku tak berjaya interview kali ini, isilah kesemua ruang di borang maklumat peribadi yang diberikan dan jangan sesekali tinggalkan kosong (seperti yang telah aku lakukan) walaupun maklumat itu sebenarnya dah ada dalam resume. Aku juga telah isikan nama aku dan juga interviewer di borang penilaian yang sepatutnya diisi oleh interviewer. Dia memuji aku kerana telah membantu dia isi maklumat di situ. Katanya perkara macam ni banyak membantu.

Seterusnya, aku diminta untuk menerangkan apa tugas aku di tempat aku kerja sekarang dan kenapa aku nak berhenti. Dia juga mengatakan kerja di sektor swasta tak sama dengan kerja kerajaan. Setelah aku menerangkan dengan panjang lebar dia macam kesian dekat aku kerana katanya inilah yang dinamakan belum rezeki kerana kerja aku sebelum ni kan kontrak dan tak dapat apa-apa benefit walaupun aku dah kerja hampir 3 tahun.

Seterusnya dia menerangkan serba sedikit tentang skop kerja bahagian admin di syarikatnya dan apa yang aku perlu lakukan sekiranya aku diterima. Apa yang membuatkan aku bertambah bersemangat adalah dia telah menerangkan secara terperinci mengenai gaji serta elaun yang bakal diterima (siap tulis kat white board lagi). Sambil berkata gaji yang aku minta dia tak dapat bagi dan kalau dia berada di tempat aku dia akan sahut cabaran walaupun dengan gaji yang kurang dari apa yang aku minta. Kerana ada calon sebelum ini tak dapat terima gaji yang ditawarkan mungkin dia dari golongan berada katanya. Aku sebenarnya tak kesah sangat pasal gaji ni dan apa yang aku perlukan pada saat dan ketika ini adalah kerja tetap.

Dan yang membuatkan aku lagi bersemangat  apabila dia mengatakan aku adalah antara calon yang berada dalam short list. Katanya apa yang kita paparkan pada resume akan membantu menarik perhatian interviewer (maksudnya resume aku tu menarik la kan). Setelah bercerita panjang lebar maka sesi interview ini berakhir dengan pertanyaan terakhir ku iaitu sekiranya aku diterima bilakah aku akan mula bekerja, ASAP katanya. Sepatutnya keputusan boleh tahu hari ni juga tapi disebabkan bos@GM berada di Jepun pada waktu dan ketika ini maka keputusan tak dapat diberikan lagi (company ini memasarkan product dari Jepun).

Nampaknya peluang untuk aku diterima macam cerah tapi aku tak mahu mengharap sangat sebab nanti kalau keputusannya -ve aku akan frust. Maka harapan yang aku berikan hanyalah 50-50 boleh? Walaupun keinginan itu adalah sangat tinggi. Balik ke opis aku terus buka email untuk mengetahui maklumat lanjut berkenaan call yang aku terima untuk sesi interview keesokan harinya pula pada pukul 10 pg. Tunggu punya tunggu sehinggalah pukul 6 ptg aku masih lagi belum terima email tersebut. Aku tawakal je la, balik umah dan mengharapkan sempat untuk buka email tersebut keesokan harinya pagi-pagi lagi di opis kerana kt umah aku tak ada line internet. Ini bermakna aku kena masuk opis dulu pagi esok.

Keesokan harinya awal-awal pagi lagi aku telah buka email dan email itu telah dihantar pada pukul 8 malam lebih. Dan yang membuatkan aku terperanjat adalah company dari Thailand tersebut berada di Kuantan, Pahang. Macam mana aku nak ke sana. Maka terpaksa la aku balas email mengatakan terdapat sedikit salah faham dan aku tak dapat hadiri interview tersebut kerana pada ketika dan saat ini aku berada di Selangor. Adalah mustahil untuk aku menjelma di Kuantan pada  pukul 10 pg nanti. I’m so sorry.

Apa yang boleh aku lakukan buat masa ini adalah meneruskan hidup macam biasa. Menunggu dan mengharap jika ada tanda-tanda positif dari mana-mana company yang akan memanggil aku untuk interview lagi atau terus mendapat tawaran dari company yang aku telah selamat diinterview.

Disebalik Langkah Pertama...

14 Mac 2012 bermulalah kisah hidup yang baru bagiku. Perjalanan hidupku mula berubah kerana aku telah mula bekerja di tempat baru. Setelah hampir 3 tahun aku berada di tempat lama akhirnya aku berjaya keluar dari tempat yang sememangnya aku ingin tinggalkan. Walaupun aku bekerja dalam sektor kerajaan tapi status sebagai kontrak tidak memberi apa-apa jaminan kebaikan untuk masa depan ku.

Secara jujurnya aku semakin selesa berada di situ tapi apakan daya rezeki ku tidak ke mana jika aku terus bertahan di situ. Pada mulanya kami seramai 10 orang yang bekerja secara kontrak di situ dan seorang demi seorang telah keluar mendapatkan kerja lain yang lebih menjamin masa depan. Dan aku masih terus bertahan daripada 10 orang itu yang tinggal hanyalah 2 orang.

Aku mulakan dengan kisah disebalik bagaimana aku mendapat tawaran kerja di tempat baru ini. Pada awal Mac 2012 yang lalu seorang lagi kawanku (yang mana hanya tinggal kami berdua) memaklumkan bahawa dia  sudah mendapat tawaran kerja di tempat lain setelah dia menghadiri interview beberapa bulan sebelumnya. Sebenarnya bukan dia sendiri yang memberitahu aku mengatakan dia telah dapat kerja lain mungkin kerana tidak mahu aku sedih ataupun mungkin dia ada alasan lain yang lebih logik. Aku hanya mengetahuinya melalui penceritaan orang lain (kira macam terdengar orang bercerita dan terdengar orang bertanya tentang tawaran kerja barunya itu). Perkhabaran ini membuatkan aku semakin berasa tidak senang duduk kerana akhirnya aku akan ditinggalkan keseorangan. Tanpa membuang masa, aku mengambil langkah pantas dengan hantar application thru email, Application for HR or Admin position. Sebab aku lebih berminat untuk kerja bahagian Admin or Hr sahaja. Aku hantar resume hanya melalui email yang mana aku dapat alamat email tersebut melalui jobstret dan juga job DB yang aku daftar.

Dalam jangka masa seminggu aku menghantar email tersebut, ianya telah membuahkan hasil. Aku mendapat panggilan telefon untuk interview. Panggilan pertama aku perolehi datangnya daripada agensi pekerjaan. Walaupun macam tak berapa menarik aku tidak melepaskan peluang yang ada kerana inilah panggilan interview pertama yang aku terima. Tanpa membuang masa, aku buat persiapan dan menghadiri interview tersebut di PJ tanpa memberitahu perkara sebenar kepada bos. Aku masuk ofis dulu dan keluar dalam pulu 9 pg dengan hanya mengatakan bahawa aku nak pergi pejabat pos dan bank. Aku ada ceritakan sebelum ni dalam Langkah pertama...

Interview oleh company agensi pekerjaan ini bukanlah untuk diambil bekerja di syarikatnya tetapi mereka akan membantu calon yang sesuai untuk di interview oleh mana-mana company yang berminat. Sesi interview dimulakan dengan aku memperkenalkan diri, seterusnya jawatan dan tugas yang aku lakukan sebelum ini. Setelah mendapat tahu aku kerja kerajaan dalam tempoh hampir 3 tahun dia macam pelik kenapa aku mahu berhenti. Aku menjelaskan tentang status aku di sana dan tak ada peluang untuk tetap dan sebagainya. Dia macam tak percaya dan bertanya Are you sure? You dah tanya you punya bos? Aku dengar pun rasa sedih tapi itulah hakikatnya. Dan dia katakan kerja sektor swasta ni berbeza dengan kerja kerajaan.

Melihat kepada borang maklumat peribadi yang aku isi dan status jawatan yang aku pohon adalah tetap maka dia pun bertanya sama ada aku perasan tak masa apply dulu jawatan yang ditawarkan adalah kontrak. Aku katakan aku tak perasan. Maka dia suruh aku tunggu dan panggil seorang lagi membernya yang urusan pengambilan untuk kerja tetap kerana dia hanya urusan untuk yang kerja kontrak dalam jangka masa 6 bulan macam tu.

Setelah beberapa ketika menunggu maka membernya pun datang dan bertanyakan soalan yang hampir sama dengan interviewer tadi kerana pelik aku telah lama bekerja  kerajaan. Jawapan yang sama jugalah terpaksa aku berikan rasa macam copy and pase je jawapan tadi.  Dia akan cuba dapatkan interview dari company lain untuk aku dengan bertanyakan kawasan mana yang aku berminat dan aku katakan Selangor, KL dan Putrajaya. Dia nak lagi spesifik dan aku katakan PJ, Subang, USJ dan dia bertanya Shah Alam? Aku kata ok. Dia macam was-was dan bertanya lagi, betu ke ni? Aku kata Okey… Maka berakhirlah sesi interview aku yang serba ringkas tu.


Beberapa jam selepas aku balik ke opis dari interview tadi aku terima lagi panggilan interview. Interview kali ini juga datangnya dari company dekat PJ juga dan aku bertanya jawatan yang ditawarkan dan sesi interview ditetapkan pada pukul 10 pg keesokan harinya. Aku minta dia email detail yang perlu aku tahu. Sebenarnya aku kurang jelas dengan apa yang dia cakap sebab line tak berapa nak clear dengan itu aku minta dia emailkan sahaja. Email yang dinantikan itu diterima agak lewat iaitu setelah pukul 6 petang. Email dihantar sekaligus kepada beberapa orang calon dalam 10 orang macam tu. Dan jawatan yang ditawarkan bukan apa yang aku pohon iaitu customer service ………. . Ianya sedikit sebanyak mengendurkan minat aku untuk menghadiri interview tersebut.

Walau bagaimanapun aku tetap buat persiapan kerana aku tak pasti lagi sama ada aku akan menghadiri interview tersebut atau tidak. Ada orang kata aku ni lambat buat keputusan. Entah la, mungkin betul juga sebab sebelum buat apa-apa keputusan banyak benda yang aku fikirkan. Aku hanya akan buat keputusan keesokan harinya setelah masuk ofis kerana aku baru je tipu sunat bos semalam mengatakan aku nak ke pejabat pos dan bank. Kalau kali ni aku keluar lagi apa alasan yang perlu aku berikan. Sama ada berterus terang ataupun tipu sunat lagi. Kalau nak tipu lagi apa pula alasan yang aku nak pakai kan.

Monday, February 27, 2012

Langkah pertama..

Khamis yang lepas aku dapat satu panggilan telefon untuk interview.. aku sebenarnya ada apply online beberapa hari yang lepas. Disebabkan seorang kawan yang sama status dengan aku di tempat kerja aku ini akan meninggalkan aku kerana mendapat tawaran kerja di tempat lain, maka langkah pertama yang aku putuskan adalah untuk mula apply apa-apa job yang sesuai secara online. Dan hasilnya itulah panggilan pertama yang aku dapat.

Interview ini datangnya dari agensi pekerjaan dan perundingcara. Dia meminta untuk aku datang interview pada hari Jumaat tapi tak dapatlah untuk aku penuhi sebab hari Jumaat kitorg akan ke Cameron Highlands kerana ada mesyuarat di sana. Seterusnya dia  minta aku datang interview hari Sabtu, juga tak dapat aku penuhi sebab hari Sabtu kitorg baru balik dari Cameron tu. Maka aku telah meminta untuk diadakan sesi interview tersebut pada hari Isnin iaitu hari ini. Setelah perbincangan dibuat, interview akan berlangsung pada 27/02/2012 pada pukul 10.30 pagi bertemapt di PJ.

Pagi-pagi tadi lagi aku telah meminta izin dari 2nd bos untuk keluar pada pukul 9 pagi hingga 12 tengahari dalamn jangka masa 3 jam macam tu. Dan bos ku bertanya untuk urusan apa. Maka terpaksalah aku tipu mengatakan yang aku nak pergi bank dan pejabat pos. Maaf ya 2nd bos, terpaksa tipu sebab nak pergi interview kan kalau comform dapat tidak mengapalah untuk berterus terang tetapi disebabkan tidak pasti lagi maka terpaksa la aku bohong sunat.

Setelah pukul 9 menjelma maka aku bersiap sedia untuk keluar dari opis dan ada la beberapa hamba Allah yang perasan aku nak keluar, ditanya nya aku nak ke mana. Aku cuma cakap nak keluar dan dah diberitahu kepada 2nd bos. Terpaksa rahsiakan niat suci yang sebenar. Minta maaf ya kawan-kawan, teman-teman tak boleh bagi tahu lagi perkara ini.

Wednesday, February 22, 2012

Hidup perlu diteruskan...

Setelah beberapa tahun bekerja bersama, bermula Ogos 2009 sehingga Februari 2012, akhirnya teman baik yang sama-sama berstatus kontrak akan berhenti kerja kerana mendapat tawaran di tempat lain. Jika dulu kami mungkin ramai tetapi setelah seorang demi seorang pergi mendapatkan kerja yang lebih baik, maka yang tinggal hanyalah kami berdua.

Jika selama ini dia lah tempat untuk aku meminta tolong, meminta pendapat, bercerita, meluahkan perasaan, berkongsi suka duka, dan banyak lagi perkara yang dilakukan bersama... dan kini aku akan ditinggalkan berseorangan.

Sesungguhnya dia tidak melakukan apa-apa kesalahan kerana mendapat tawaran kerja yang lebih baik tapi aku berasa amat sedih... sedih kerana terasa kehilangan. Inilah perkara yang aku amat takutkan selama ini ditinggalkan terus berada di sini.

Walaupun aku turut berhasrat untuk mendapatkan kerja lain yang lebih baik tapi rezeki belum berpihak kepada aku. Dan akhirnya dia yang pergi dulu. Aku amat risau kerana status kontrak kami tidak membawa apa-apa kebaikan atau manfaat untuk aku terus berada di sini.

Sejujurnya aku tumpang gembira kerana dia akan bekerja di tempat baru yang lebih baik statusnya daripada tempat kerja kami sekarang dan mungkin gajinya lebih besar kerana gaji kami di sini amatlah ciput. Orang kata cukup-cukup makan saja.

Dalam kesedihan, aku perlu redha dan menerima hakikat bahawa yang datang tetap akan pergi apatah lagi dia cumalah seorang kawan, rakan sekerja yang telah aku kenali sekian lama. Seorang rakan yang teramat mudah untuk meminta tolong yang kadang-kadang tanpa disuruh dia yang datang dahulu menawarkan pertolongan.

Walau apa pun yang berlaku, hidup perlu diteruskan kerana setiap orang akan mengharungi liku-liku kehidupan yang berbeza walaupun kita telah sekian lama bekerja bersama. Setiap orang akan menempuh takdirnya sendiri tanpa kehadiran kawan-kawan atau teman yang sebelum ini sentiasa ada di sisi.

Hidup mesti diteruskan. Cubalah untuk menjadi yang terbaik. Redha dengan ketentuan Ilahi. Kerna apa yang ditakdirkan oleh-Nya untuk kita adalah yang terbaik buat kita. Teruskan berusaha, berdoa dan bertawakal semoga waktu-waktu yang indah akan hadir mengisi perjalanan hidup kita.

Friday, January 13, 2012

Di sini...

Setelah separuh bulan pertama 2012 telah berlalu.
Setelah Januari 2012 berada di pertengahan.
Aku masih lagi di sini.
Masih menanti di sini.

Masih di sini,
Suatu tempat yang telah banyak membantu.
Suatu tempat yang telah membuka laluan.
Suatu tempat untuk meneruskan hidup setelah tamat belajar.

Tempat untuk aku,
Mencari rezeki.
Memulakan kehidupan.
Menimba pengalaman.

Tapi setelah sekian lama,
Aku masih di sini.
Dengan status sementara.
Bukannya tetap.

Aku harus mendapatkan,
Suatu yang kekal buatku.
Suatu yang tetap bagiku.
Suatu yang terjamin untukku.

Bukannya aku memilih untuk keluar dari sini.
Tapi, di sini tiada jaminan buatku.
Aku harus keluar dari sini.
Sampai bila aku harus terus menunggu.

Aku seronok berada di sini.
Aku gembira bekerja di sini.
Aku bahagia menimba pengalaman di sini.
Aku tenang dengan kehidupan di sini.

Tapi keseronokan, kegembiraan, kebahagian dan ketenangan aku di sini.
Tidak akan kekal selamanya.
Tidak mampu untuk aku pertahankan.
Tidak boleh aku teruskan.

Kebenarannya,
Di sini hanyalah tempat persinggahan buatku.
Persinggahan untuk sementara waktu.
Persinggahan untuk menimba pengalaman.

Tapi sampai sekarang aku masih di sini,
Tidak tahu ke mana aku harus pergi.
Tidak tahu ke mana aku harus tuju.
Tidak tahu di mana tempatku.

Di mana tempat yang tetap untukku.
Di mana tempat yang sesuai bagiku
Di mana tempat yang kekal buatku.
Di mana tempat yang sepatutnya aku berada.

* Ya Allah bantulah hambaMu ini. Tunjukkanlah jalan kebenaran bagiku. Jalan kebahagian untukku. Jalan yang diredhaiMu buatku. Jalan kejayaanku untuk meneruskan hidup yang mendatang. Sesungguhnya perjalanan hidupku masih jauh. PadaMu aku mengharap dan berserah Ya Allah. Amin...