Pencipta langit dan bumi

Pencipta langit dan bumi
Ku abadikan diri ini buat Pencipta langit dan bumi...

Wednesday, February 22, 2012

Hidup perlu diteruskan...

Setelah beberapa tahun bekerja bersama, bermula Ogos 2009 sehingga Februari 2012, akhirnya teman baik yang sama-sama berstatus kontrak akan berhenti kerja kerana mendapat tawaran di tempat lain. Jika dulu kami mungkin ramai tetapi setelah seorang demi seorang pergi mendapatkan kerja yang lebih baik, maka yang tinggal hanyalah kami berdua.

Jika selama ini dia lah tempat untuk aku meminta tolong, meminta pendapat, bercerita, meluahkan perasaan, berkongsi suka duka, dan banyak lagi perkara yang dilakukan bersama... dan kini aku akan ditinggalkan berseorangan.

Sesungguhnya dia tidak melakukan apa-apa kesalahan kerana mendapat tawaran kerja yang lebih baik tapi aku berasa amat sedih... sedih kerana terasa kehilangan. Inilah perkara yang aku amat takutkan selama ini ditinggalkan terus berada di sini.

Walaupun aku turut berhasrat untuk mendapatkan kerja lain yang lebih baik tapi rezeki belum berpihak kepada aku. Dan akhirnya dia yang pergi dulu. Aku amat risau kerana status kontrak kami tidak membawa apa-apa kebaikan atau manfaat untuk aku terus berada di sini.

Sejujurnya aku tumpang gembira kerana dia akan bekerja di tempat baru yang lebih baik statusnya daripada tempat kerja kami sekarang dan mungkin gajinya lebih besar kerana gaji kami di sini amatlah ciput. Orang kata cukup-cukup makan saja.

Dalam kesedihan, aku perlu redha dan menerima hakikat bahawa yang datang tetap akan pergi apatah lagi dia cumalah seorang kawan, rakan sekerja yang telah aku kenali sekian lama. Seorang rakan yang teramat mudah untuk meminta tolong yang kadang-kadang tanpa disuruh dia yang datang dahulu menawarkan pertolongan.

Walau apa pun yang berlaku, hidup perlu diteruskan kerana setiap orang akan mengharungi liku-liku kehidupan yang berbeza walaupun kita telah sekian lama bekerja bersama. Setiap orang akan menempuh takdirnya sendiri tanpa kehadiran kawan-kawan atau teman yang sebelum ini sentiasa ada di sisi.

Hidup mesti diteruskan. Cubalah untuk menjadi yang terbaik. Redha dengan ketentuan Ilahi. Kerna apa yang ditakdirkan oleh-Nya untuk kita adalah yang terbaik buat kita. Teruskan berusaha, berdoa dan bertawakal semoga waktu-waktu yang indah akan hadir mengisi perjalanan hidup kita.

No comments:

Post a Comment